Sifat tawaduk benteng perasaan riak, sombong
Posted on 12/02/2010 07:39:00 PM by Amirul Asyraf @ Aime Remy
Oleh Mohd Adid Ab Rahman
UMAT Islam perlu sentiasa mengemaskinikan diri dan hati ke arah  kecemerlangan dari semasa ke semasa supaya akan akan menjadi insan  disegani, dihormati dalam masyarakat serta dirahmati Allah.
Selain itu, perasaan ingin cemerlang melahirkan watak yang Islami  seterusnya menjadi daya penarik bagi pandangan orang bukan Islam dan  watak itu mampu menterjemahkan keindahan ajaran Islam.
Orang Islam yang ada keinsafan tinggi, iman teguh, akan menerima apa  saja ketetapan Allah ke atas dirinya baik berbentuk kebahagiaan, mahupun  berbentuk kedukaan dan mematuhi setiap hukum serta peraturan dengan  penuh rela, pasrah tanpa sedikitpun melahirkan tindakan untuk menentang,  memprotes atau membantah. Dalam Islam, orang begini disebut sebagai  ‘tawaduk’.
Tentu sukar bagi sesetengah manusia menerima kenyataan yang  ditakdirkan Allah dan mengakuri segala perintah-Nya, jika semua itu  tidak bersesuaian dengan nafsu, keinginan serta cita rasa hatinya.
Namun, bagi insan yang mengakui banyak kelemahan dan diri hanya tidak  lebih sekadar hamba yang hina serta tidak mempunyai apa-apa, maka sudah  tentu menerima kenyataan adalah perkara mudah dan menjadi amalan  sepanjang kehidupan tanpa rasa takut atau bimbang.
Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan supaya umat Islam  menghiasi diri dengan sifat tawaduk. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:  “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepadaku, supaya kamu bersifat  tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan  menunjukkan sikap berbangga diri (sombong) kepada orang lain.” (Hadis  riwayat Muslim)
Hikmah di sebalik suruhan Rasulullah SAW tadi, sifat tawaduk akan  pasti melahirkan akhlak terpuji iaitu tidak akan menganiaya orang lain  bahkan tersemai perasaan menyayangi saudaranya.
Tawaduk juga akan melenyapkan sikap berbangga diri, sombong dan  mementingkan diri sendiri. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan  janganlah kau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada  manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong,  sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi  membangga diri.” (Surah Luqman, ayat 18)
Sesungguhnya orang yang sombong akan dihumbankan ke neraka Jahanam  seperti keterangan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang  bersifat sombong dan tidak patuh kepada-Ku akan diazabkan di dalam  neraka Jahanam dan menderita kehinaan di dalamnya.” (Surah al-Mukmin,  ayat 60)
Selain itu orang yang bersikap zalim (aniaya) terhadap orang lain  kerana semata-mata ingin melempias sifat sombong atau menunjukkan  kehebatan, maka Allah akan menyegerakan balasan di dunia dan akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak suatu pun dosa yang lebih  patut atau lebih berhak disegerakan hukumannya oleh Allah di dunia di  samping nanti bakinya akan dikenakan lagi di akhirat, melainkan dosa  berbuat aniaya (zalim) terhadap orang lain, dan memutuskan tali  kekeluargaan (persaudaraan).” (Hadis riwayat at-Tarmizi)
Dalam memperelok budi pekerti dan akhlak Muslim sejati, maka adalah  sangat bertepatan jika merenungi sabda Rasulullah SAW dengan penuh yakin  dan keimanan yang tidak berbelah bagi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak mengurangkan  harta kerana sedekah. Allah menambah kebesaran (kehebatan) seseorang  yang minta maaf dan meninggikan darjat orang yang tawaduk.” (Hadis  riwayat Muslim)
Hadis itu menyatakan ada tiga perkara sering kali diabaikan oleh  orang bodoh, sombong serta tidak berfikiran jauh dan matang iaitu:
# Bersedekah – orang yang bersedekah tidak pernah dikurangkan  hartanya, bahkan ditambahkan lagi oleh nikmat-Nya bagi orang yang mahu  bersyukur.
# Minta maaf kerana bersalah – orang yang sombong menganggap minta  maaf menandakan kelemahan lalu lebih baik meneruskan perkelahian  daripada berdamai. Padahal, meminta maaf tandanya orang yang tawaduk dan  suka kepada keharmonian hidup dalam masyarakat.
# Menerima kenyataan kebenaran – harga diri seseorang tidak akan jadi  rendah dan hina bila bertawaduk. Bagi orang yang sombong, tidak mahu  menerima kebenaran yang ada pada orang lain, bahkan berasa terhina untuk  mengakui dan mengiktiraf kebenaran itu. Lihat saja kelakuan Rasulullah  SAW, menerima apa saja bentuk pemberian tanpa sedikitpun rasa tidak puas  hati.
Apabila kita perhatikan ketiga-tiga sifat yang disebutkan itu,  semuanya mencerminkan akhlak mahmudah yang sinonim dengan ajaran Islam  dan selalu diamalkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sesungguhnya tawaduk bukan bermakna kita berasa diri serba kurang,  tidak berharga dan kurang harta. Tawaduk sebenarnya berasa sedar, insaf  bahawa diri kita berasal dari tanah yang sama kecuali amal bakti dan  takwa yang membezakan.
Sifat tawaduk benteng perasaan riak, sombong
2010-12-02T19:39:00-08:00
Amirul Asyraf @ Aime Remy
Subscribe to:
Post Comments (Atom)