'Fahaman Wahabi Berasaskan Pemikiran Ibnu Taimiyyah'
Posted on 11/10/2010 05:05:00 AM by Amirul Asyraf @ Aime Remy
 Gerakan Wahabi diasaskan oleh Imam Muhammad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703 – 1791 M) lahir di Uyaynah utara Riyadh  di daerah Nejad Arab Saudi. Bapanya adalah seorang qadhi di Nejad yang  berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Selain berguru dengan  bapanya beliau juga berguru dengan ulama-ulama Ahlu Sunnah Wal-Jamaah di  Mekah dan Madinah. Gurunya yang terkenal di Madinah ialah Syeikh  Muhammad Hayat yang menulis kitab Al-Hashiyah ‘Ala Sahih al-Bukhari. Imam Muhammad bin Abdul Wahhab merupakan seorang ulama’ yang banyak dipengaruhi Mazhab Hanbali tetapi pegangan tauhidnya berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali. Beliau tertarik dengan pemikiran dua pemikir dan cuba menghidupkan kemabli konsep pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim. Ibnu Taimiyyah (  1263 – 1328 M) adalah seorang pemikir besar umat Islam. Pemikiran Ibnu  Taimiyyah menimbulkan bantahan beberapa ulama berfahaman akidah Ahli  Sunnah Wal-Jamaah yang sedang menguasai pemikiran akidah pada masa itu  sehingga ia di penjara, dilarang menulis dalam penjara dan akhirnya  meninggal dunia dalam penjara di Damshik Syiria. Ibnu Qayyim (1292 –  1350 M) adalah juga murid kepada Ibnmu Taimiyyah. Secara  umumnya Syeikh Mohammad bin Abdul Wahab muncul ketika pengaruh Mazhab  Hanbali sedang merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan  pencemaran akidah seperti khurafat, bid’ah dan wakil gabenor Turki pula  terlibat dengan rasuah. Beliau telah melancarkan reformasi dan  pembaharuan di semenanjung Arab dalam usaha membersihkan mengembalikan  umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan Hadis Sahih Rasulullah s.a.w. Usahanya mendapat sokongan beberapa pemimpin kabilah Arab di Nejad. Berasaskan  gerakan reformasi inilah maka ia beruasaha menghapuskan rasuah, segala  macam bid’ah, khurafat dan pelbagai perbuatan yang membawa kepada  syirik. Penegak-penegak fahaman Wahabi ini juga menamakan fahaman mereka  sebagai kumpulan Salafi iaitu kumpulan yang tidak terikat dengan  mana-mana mazhab seperti mana yang berlaku di zaman Rasulullah dan  kepimpinan sahabat-sahabat selepasnya. Bagaimana  pun terdapat juga penganalisis politik Arab bahawa gerakan Wahabi ini  lahir sebagai usaha untuk membebaskan bangsa Arab dari pemerintahan  Kerajaan Uthmaniah Turki yang menguasai negara Arab pada masa itu.  Muhammad bin Saud (pengasas pemerintah Kerajaan  Arab Saudi sekarang) telah memimpin kabilah Arab dan mendapat sokongan  British berjaya memerintah Arab Saudi. Muhammad bin Saud dan pengasas  fahaman Wahabi itu telah bersatu dalam usaha mengukuhkan kepentingan  masing-masing dan usaha mereka berjaya. Kerajaan Uthmaniah Turki gagal  mengawal kebangkitan Muhammad bin Saud dan perkembangan gerakan Wahabi  kerana sibuk memnperkukuhkan penyebaran Islam di Eropah.  Menurut  sumber sejarah ulama Mekah dan Madinah pada awalnya menentang fahaman  Wahabi di mana berlaku isu kafir mengkafir yang hebat di antara ulama  Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan ulama Wahabi. Bagaimana pun gerakan  Wahabi berjaya menawan dua tempat suci itu maka bermulalah fahaman itu  bertapak kukuh.  Pada  prinsipnya fahaman Wahabi ini membuat terjemahan serta tafsiran  al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka  serta ditegaskan dengan pendirian keras pergerakan itu. Mereka juga  dikatakan menolak fahaman 4 Mazhab utama serta pegangan Ahli Sunnah  Wal-Jamaah. Menurut  K.H Sirajudin Abbas seorang ulama besar Indonesia dalam buku 40  Soal-Jawab Agama menyatakan konsep moden fahaman Wahabi antaranya adalah  seperti berikut: . Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah. . Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab malah boleh menampal antara satu sama lain (Talfiq). . Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias. . Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan). .  Melarang ziarah kubur walaupun maqam Rasulullah s.a.w. Kerajaan Arab  Saudi membenarkan Jemaah Haji dan Umrah menziarah Maqam Rasulullah itu  adalah atas dasar menziarahi Masjid Nabawi. . Menghancurkan tugu-tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik. . Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya. . Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Isra’ Mikraj dan lain-lain. Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya. . Fahaman Asa’ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh. . Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah. . Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah. . Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan tetapi boleh baca dengan lurus sahaja.  . Menghadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang. . Amalan tariqah dilarang sama sekali. . Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras. Fahaman  Wahabi menjadi pegangan Kerajaan Arab Saudi yang menguasai Masjidil  Haram Mekah dam Masjid Nabawi Madinah. Berdasarkan penguasaan dua tempat  suci ini maka fahaman Wahabi terus bertapak kukuh. Malah Kerajaan Arab  Saudi menjadi negara Islam paling banyak menyumbangkan dana-dana untuk  perkembangan dakwah dan syiar Islam di seluruh dunia.  Di  negara kita Kerajaan Perlis Indera Kayangan satu-satunya negeri yang  tidak berpegang kepada mana-mana mazhab. Mereka mendakwa berpegang  kepada al-Quran dan hadis sahih sepenuhnya seperti mana yang diamalkan  di Arab Saudi. Terdapat kalangan pelajar Malaysia yang belajar di Arab Saudi dan mahir dalam selok belok hukum tertarik dengan fahaman Wahabi dan mengembangkannya di Malaysia.  Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini yang sejak berkurun lama berakar  umbi dengan Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah menimbulkan salah faham  di kalangan umat Islam. Manakala bagi orang awam yang kurang mahir  dalam selok belok mazhab maka lebih baik bertaqlid dengan pegangan  mazhab sedia ada.  Hakikatnya  fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru tentang akidah. Mereka  hanya mengamalkan apa yang telah dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah dalam  bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan oleh Ibnu  Taimiyyah sendiri. Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain  dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakan kerana kesan  pengglobalan ilmu di dunia hari ini. Malah  dalam penghayatan muamalah dan sisitem perbankan Islam di negara ini  dan di dunia sekarang banyak menggunakan kaedah yang terdapat dalam  Mazhab Hanafi.  Kesimpulannya  dari segi tauhid fahaman Wahabi bukan ajaran baru dan juga tidak  termasuk antara 73 cabang ajaran sesat seperti mana yang dijelaskan  ulama berdasarkan huraian hadis penjelasan 73 ajaran sesat itu. Disediakan Oleh: Ghafani Awang Teh  |            
Sumber : Pengarah Bahagian ILIM
'Fahaman Wahabi Berasaskan Pemikiran Ibnu Taimiyyah'
2010-11-10T05:05:00-08:00
Amirul Asyraf @ Aime Remy
on9onweb|
Subscribe to:
Post Comments (Atom)