Mazhab Hanafi

Posted on 11/10/2010 02:58:00 AM by Amirul Asyraf @ Aime Remy

HANAFI: Mazhab Perundangan Islam Pertama
Saya sebenarnya tidak suka dengan nama ini, "Sekolah perundangan Islam". Namun ini adalah sebenarnya terjemahan daripada bahasa Inggeris, Islamic School of Laws. Dalam bahasa Melayu, kita sudah ada bahasa sendiri yang diambil daripada bahasa Arab iaitu Mazhab. Mazhab sebenarnya adalah aliran perundangan yang lahir setelah zaman tabi'in. Zaman tabi'in ialah zaman selepas zaman sahabat Rasulullah. Kita memerlukan huraian yang lain tentang konsep 'mazhab' itu, dah saya cuma ingin masukkan tentang Mazhab Hanafi.

Mazhab ini telah lahir di bandar Kufah, Iraq. Pada masa zaman khalifah al-Rasyidin, pemerintah, Khalifah Umar telah menghantar seorang sahabat Rasulullah bernama Abdullah bin Mas`ud atau lebih kita kenali sebagai Ibn Mas`ud (meninggal tahun 32H). Ibn Mas`ud, kita selalu dengar, sebagai seorang periwayat hadith yang masyhur juga, bahkan seorang yang banyak mengetahui tentang hukum fiqh. Kalau antara para sahabat Rasulullah, Ibn Mas'ud mempunyai aliran perundangan tersendiri, selain daripda Ibn Abbas. Dua aliran fiqh yang saling berlawanan. Ibn Mas`ud agak rigid, manakala Ibn Abbas agak fleksibel.

Datangnya Ibn Mas`ud ke Kufah, telah menghasilkan murid yang menjadi ulama' terkemuka zaman tabi'in seperti `Alqamah al-Nakh`i, Masruq al-Hamdani, al-Qadi Syurayh, Ibrahim al-Nakh`i, Amir al-Sya`bi dan Hammad Ibn Abu Sulayman.

Di bandar Kufah ini jugalah, lahirnya mazhab Hanafi, yang berasaskan kepada pemikiran Imam Abu Hanifah, atau nama sebenarnya Nukman bin Thabit, yang merupakan murid kepada Hammad bin Abu Sulayman (meninggal 120H). Nukman sebenarnya seorang peniaga kain, seorang usahawan yang aktif di pasar. Beliau juga seorang yang pintar dan sarjana. Gabungan kesarjanaan dengan pemikiran usahawan ini menghasilkan suatu pemikiran yg begitu luar biasa, memberikan beliau kemampuan yang hebat dalam aspek analogi (qiyas) dan pemikiran ekuiti (istihsan). Justeru, aliran pemikiran beliau dikenali sebagai aliran al-ra'y atau ahli al-ra'y atau "aliran pemikiran".


Maksud pemikiran ahli al-ra'yi dalam apa yang saya tulis di atas ialah pemikiran berasaskan logikal dan analogi, berbanding pemikiran berasaskan sumber nas. Lawan kepada pemikiran aliran ahli al-Ra'yi adalah Ahli al-Hadith. Ahli al-Hadith lebih menggunakan sumber daripada sirah dan sejarah Rasulullah berbanding mengutamakan penggunaan interpretasi akal.

Antara sebab yang dilihat mengapa Imam Abu Hanifah lebih banyak menggunakan kaedah Qiyas, atau analogi logikal dan istihsan (pilihan juris) ialah kerana kedudukannya di Kufah adalah jauh dengan Mekah dan Madinah yang merupakan pusat pengajian Sunnah dan Hadith Rasulullah. Sebab itu, menurut kaedah Imam Abu Hanifah, seandainya terdapat dalil yang kurang diyakini datang daripada Rasulullah, beliau lebih mengutamakan qiyas, atau kaedah analogi.

Apakah kaedah Analogi? Kaedah analogi ialah MENYAMAKAN HUKUM SESUATU PERKARA BARU YANG TIDAK DISEBUTKAN OLEH NAS (QURAN ATAU HADIS) DENGAN HUKUM PERKARA YANG DISEBUT OLEH NAS KERANA TERDAPAT PERSAMAAN 'ILLAH' ANTARA KEDUA-DUA KES TERSEBUT.
ILLAH atau ratio decidendi ialah persamaan yang boleh dijadikan sandaran antara kedua-dua perkara itu. Contohnya Dadah tidak disebutkan di dalam al-Quran dan hadis. Namun disebut Arak dan illah pengharaman arak ialah kerana sifat khayal, mabuk dan merosakkan fungsi akal. Oleh kerana illah yang sama dengan arak terdapat di dalam Dadah, maka hukum Arak mesti diletakkan jugak pada dadah.
Dalam undang-undang lazim Inggeris, kaedah ini dinamakan doctrine of precedent, di mana ratio decidendi dalam sesuatu kes terdahulu dianggap binding terhadap kes-kes yang baru.

Sumber : http://www.extro.biz/portal/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...